1.0 PENDAHULUAN.
Burhus Frederick Skinner telah dilahirkan pada 20 Mac 1904 di Susquehanna Pennsylvania. Bapanya seorang peguam di bandar kecil itu. Skinner belajar di Kolej Hamilton di Clinton, New York, di mana beliau mengkhusus dalam kesusasteraan Inggeris. Beliau tidak mengambil apa-apa kursus psikologi tetapi pernah memenangi hadiah kerana karyanya dalam bahasa Greek. Beliau mula minat terhadap bidang psikologi apabila beliau menyedari bahawa beliau tidak mempunyai fakta untuk menulis cereka dan seterusnya beliau melanjutkan pelajaran dan lulus dalam bidang psikologi dengan harapan beliau dapat mengatasi masalah tersebut.
Beliau, melanjutkan pelajaran di Harvard pada tahun 1928. Dalam masa tiga tahun beliau telah dianugerahkan ijazah PhD, dengan menulis disertasi yang cuba memperincikan undang-undang tingkahlaku untuk menerangkan perjalanan sistem saraf pusat. Beliau terus berada di Harvard selama lima tahun selepas mendapat ijazah. Ia melanjutkan usaha Thorndike dalam kajian pelaziman. Beliau membuat kajian yang cuba mengenal pasti undang-ungdang asas dalam tingkah laku organisme. Satu daripadanya ialah mengaturkan seekor binatang dalam alat itu boleh melakukan mekanisme yang dapat mendatangkan ganjaran. Hal ini dapat dilakukan dengan menekan sebarang tuas yang ringkas. Dengan menggabungkan ciptaan-ciptaan ini, gerakbalas menekan tuas itu dapat dirakamkan secara automatik untuk menandakan kekerapan gerakbalas bagi sesuatu organisme secara keseluruhan. Dengan ini lahirlah “ Kotak Skinner ” yang sejak itu telah menjadi satu alat kebiasaan dalam kajiselidik psikologi. Beliau berjaya menerbitkan sebuah buku berjudul, The Behavior of Organisms (1938).
Mengikut Skinner (1972, 110-11), beliau minat terhadap aturan pengukuhan adalah secara kebetulan. Pada suatu hari Sabtu, beliau menyedari bahawa bilangan tempat makanan dalam alat itu tidak mencukupi bagi seminggu. Oleh itu menukar cara supaya hanya satu gerak balas akan diberi ganjaran bagi setiap minit. Dengan cara ini, beliau mempunyai bilangan tempat makanan yang mencukupi. Beliau juga mendapati bahawa tikus-tikus itu lebih stabil tingkah lakunyadalam jangka yang lebih teratur pula. Kemudian, beliau terus mengkaji kesan jenis-jenis pengukuhan sebahagian pada kadar yang tetap atau berubah ke atas jumlah penekanan tuas.
1.1 FALSAFAH BEHAVIORISME MENGIKUT SKINNER
Falsafah Skinner ini bersifat saintifik. Sifat saintifik itu pula adalah dalam bentuk radikal. Beliau mahu mencari hubungan biasa antara kelas-kelas kejadian yang boleh diperhatikan supaya pola sebab musabab dapat dipastikan. Dalam hal ini beliau tidak mementingkan teori dalam erti kata yang biasa. Fenomena pembelajaran yang paling baik dikaji adalah dari segi menganalisis hubungan-hubungan fungsional antara gerak balas-gerak balas dan keadaan-keadaan sebelumnya. Cara ini tidak memerlukan teori untuk mengetahui apa yang berlaku di antara kedua-dua pembolehubah itu.
Sesuatu teori itu didapati penting dari segi membuat kenyataan ringkas mengenai pola-pola hubungan yang dapat dilihat, tetapi tidak ada satu keperluan yang merujukkannya kepada proses mental untuk menghuraikan tingkahlaku. Tingkahlaku sentiasa dihuraikan dengan mengenalpasti keadaan-keadaan penggerak objektif dari mana tingkahlaku itu timbul(termasuklah sejarah pengukuhan organisme itu sebelumnya).
Skinner juga boleh dianggap sebagai pengikut ‘ operasionalisme ’ yang didefinisikan oleh beliau sebagai kebiasaan bercakap mengenai pemerhatian yang dibuat oleh seseorang, tatacara manipulatif dan perkiraan yang terlibat dalam membuat pemerhatian, langkah-langkah logik dan matematikal yang hadir di antara kenyataan yang sebelum dan sesudah, serta tiada yang lain ( Skinner 1972, hal. 370 ).
Kebaikan yang paling utama dalam operasionalisme yang dilihat sebagai sesuai dalam psikologi mengikut Skinner terdapat dalam isi keempat iaitu ia menolong kita mengetepikan hal-hal yang tidak perlu dalam usaha untuk mewujudkan sains objektif. Setengah variasi operasionalisme menganggap bahawa kejadian-kejadian umum ( kejadian yang boleh diperhatikan secara luar dan disahkan ) sebagai sesuai untuk analisis saintifik. Skinner pula berpendapat bahawa sebahagian daripada kejadian sulit juga boleh dijadikan bahan. Isunya bagi beliau bukanlah perbezaan antara umum dan sulit tetapi sama ada kejadian-kejadian itu boleh diperhatikan.
Dalam karya Beyond Freedom and Dignity , Skinner memperlihatkan dirinya bukan sahaja sebagai ahli sains yang berkebolehan dan sebagi pengikut sesuatu cara yang tertentu untuk membuat sesuatu yang saintifik tetapi beliau juga memperlihatkan dirinya sebagai ahli falsafah yang mengenai hal ehwal manusia. Ini tidaklah menghairankan kerana tema-tema yang beliau utarakan merupakan hal-hal yang dijumpai di makmal psikologi.
Menurut Skinner, untuk menyelasaikan masalah manusia kita perlu menerapkan apa saja jenis teknologi. Masalah tingkah laku manusia tidak boleh diselesaikan oleh teknologi fizikal dan teknologi iaitu teknologi tingkah laku. Ramai orang menentang bahawa teknologi tingkah laku juga diperlukan. Mereka menentangnya kerana mereka berfikir teknologi ini tidak boleh memberi kesan, dan mereka menentangnya kerana mereka fikir teknologi ini tidak diperlukan. Kedua-dua tentangan ini boleh dikaitkan dengan konsep ‘ manusia autonomous ’ iaitu idea bahawa terdapat suatu kejadian dalaman yang bertindak sendiri untuk menyebabkan berlakunya tingkah laku. Oleh kerana tingkah laku itu mempunyai sebab dalaman, maka idea ini begitu teguh sehingga mereka merasakan teknologi tingkah laku itu tidak mungkin memberikan kesan. Atau sebaliknya, walaupun sekiranya ia boleh memberikan kesan, tetapi ia tidak diperlukan kerana ia akan merosakkan nilai-nilai penting mengenai kebebasan dan kemuliaan seseorang itu.
Mengikut Skinner, analisis tingkah laku secara ujikaji tidak membenarkan kita mengutarakan idea mengenai kejadian dalaman. Sebaliknya kita dapati tingkah laku dikawal oleh keadaan-keadaan sekitaran. Konsep-konsep kebebasan dan kemuliaan mungkin lebih difahami dalam erti kata penentuan sekitaran daripada dalam erti kata pernyataan sesuatu yang secara dalaman bersifat autonomous. ‘ Pergelutan untuk kebebasan ’ merupakan tingkah laku haiwan yang cuba mengelak atau bebas daripada keadaan-keadaan yang merbahaya. ‘ Kederiaaan dan kemuliaan ’ merupakan suatu yang diatribusikan individu, ataupun apa yang diatribusikan individu pada dirinya kerana keadaan berlakunya tingkah laku itu tidak dapat difahami sepenuhnya. Kehendak kepada kebebasan itu akan terhapusnya keadaan-keadaan yang merbahaya, dan digniti menjadi tidak perlu apabila tingkah laku dapat dihuraikan secara terperinci. Namun, tidak ada sebab untuk melihat kebebasan dan digniti sebagai hasil daripada kuasa dalaman.
Teknologi tingkah laku bukanlah suatu mimpi. Mengikut Skinner, ia sudah berada dalam proses perkembangan. Kuncinya boleh didapati dalam kontigensi pengukuhan. Ke arah matlamat apa hendak kita bentuk tingkahlaku itu? Bagi Skinner jawapan yang senang ialah untuk menyediakan pengukuhan positif yang tekal berikutnya boleh dikategorikan kepada tiga jenis nilai atau barangan iaitu benda-benda yang menjadi barangan kerana ianya membantu penerusan hidup biologi, benda-benda yang menjadi barangan kerana ianya membantu yang lain, dan benda-benda yang menjadi barangan kerana ia membantu sebuah budaya untuk terus hidup.
Kedua-dua kategori yang pertama itu tidak begitu konversial seperti yang ketiga. Tetapi bagaimana boleh kita membantu budaya untuk berterusan? Menurut Skinner, kita perlu ‘ memesatkan lagi perkembangan praktis yang akan mengambil kira juga keputusan-keputusan yang jauh ’ ( Skinner, 1971, hal. 143 ). Seperti juga dalam proses biologi di mana jenis-jenis organisme yang lebih sensitif kepada keputusan tindakannya akan lebih senang untuk terus hidup, maka dalam evolusi budaya juga bentuk-bentuk itu akan terus hidup dan akan mengawal manusia dalam semua bidang keputusan tingkah laku mereka. Hal ini boleh dijadikan prinsip yang membimbing reka bentuk atau reka bentuk kembali keseluruhan sesuatu budaya itu.
Dalam kesemua hal ini, kita tidak perlu mengkhuatiri konsep ‘ kawalan ’. Setiap kali kita bertindak secara sistematik ke atas persekitaran untuk memberi kesan kepada perkara lain, maka kita telah menguatkuasakan kawalan. Masalah utama ialah kita perlu lebih jelas mengenai objektif kawalan itu dan bertindak dengan lebih berkesan dalam memilih cara-cara mengawal.
Manusia tidak hapus. Ia terus hidup sebagai satu jenis dan sebagai seorang individu. Tingkahlakunya pula tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang datang dari dalam. Ia dilihat sebagai menjadi fungsi kepada keadaan-keadaan sekitaran.
2.0 TEORI PELAZIMAN OPERAN SKINNER
2.1 Kotak Skinner
2.1.1 Langkah pertama
Skinner telah menjalankan satu eksperimen dengan menggunakan tikus. Dalam kajian Skinner ialah beliau meletakkan seekor tikus yang lapar ke dalam kotak Skinner seperti pada Rajah 1. Kotak Skinner tersebut mempunyai alat penekan pada dindingnya. Seperti kucing dalam teori Thorndike, tikus juga dibiarkan berlari secara rawak dalam kotak tikus Skinner. Kemudian secara tidak sengaja, tikus tertekan alat penekan dan birin makanan akan keluar. Tindakan ini diulang-ulang sehingga tikus belajar bahawa ‘Jika alat penekan ini ditekan, makanan akan diperoleh’. Ini bermakna tikus telah belajar cara memperoleh makanan dengan menekan alat penekan tersebut. Ini dikatakan pembelajaran melalui pelaziman.
2.1.2 Langkah kedua
Seterusnya, Skinner telah memutuskan hubungan makanan dengan alat penekan. Apabila tikus menekan alat penekan tersebut, makanan tidak akan keluar. Ini bermakna, apabila ganjaran ( makanan ) dihentikan, tikus pun berhenti menekan alat penekan tersebut ( gerak balas terhapus ). Peringkat ini dikenali penghapusan.
2.1.3 Langkah ketiga
Kemudian Skinner memasukkan lampu dalam kotak tikus beliau. Apabila lampu menyala, tikus menekan alat penekan dan bijirin diperolehi. Manakala, jika lampu tidak menyala tetapi tikus menekan alat penekan, maka bijirin tidak akan diperolehi. Lama-kelamaan tikus belajar untuk menekan lat penekan hanya apabila lampu menyala. Dengan langkah ini, tikus belajar konsep diskriminasi, iaitu dapat membezakan masa yang paling sesuai untuk menekan alat penekan untuk mendapatkan makanan.
2.2 Eksperimen Skinner dengan burung merpati
2.2.1 Langkah pertama
Eksperimen kedua Skinner ialah dengan melibatkan burung merpati. Dalam kajian ini, Skinner cuba mengajar burung merpati untuk bermain ping pong. Langkah pertama kajian beliau ialah Skinner cuba membentuk tingkah laku burung merpati secara berperingkat-peringkat. Apabila burung merpati menghampiri bola ping pong, ia diberi peneguhan dalam bentuk kacang hijau. Langkah ini diulang-ulang sehingga burung merpati dilazimkan dengan peneguhan.
2.2.2 Langkah kedua.
Apabila burung merpati tersebut mematuk bola ping pong, ia diberikan peneguhan berbentuk kacang hijau. Dengan peneguhan ini, burung merpati terus mematuk bola ping pong tersebut.
2.2.3 Langkah ketiga.
Kemudian, apabila burung merpati berjaya mematuk bola ping pong ke sebelah jaring dengan paruhnya, ia juga diberi peneguhan positif dalam bentuk kacang hijau.
2.2.4 Langkah keempat.
Seterusnya, beliau memberikan kacang hijau kepada seekor burung merpati lagi yang berada di sebelah jaring yang lain, sehingga kedua-duanya burung merpati berjaya bermain ping pong.
3.0 PRINSIP-PRINSIP TEORI BEHAVIOURIS.
Skinner menyatakan bahawa perlakuan harus diperhatikan dalam jangka masa yang panjang dan membentuk perlakuan yang kompleks daripada perlakuan mudah. Skinner menjalankan kajian dengan menggunakan haiwan seperti tikus dan burung merpati. Beliau menghasilkan “ Skinner Box ” di mana tingkah laku binatang dalam kotak tersebut boleh dikawal dan gerakbalasnya boleh diperhatikan dan direkod/diukur. Kajian ini membawa beliau kepada penggunaan teori pelaziman operan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menurut Skinner ( 1953 ), dalam teori pelaziman operan gerak balas boleh dperkuatkan ( diulang ) atau dihapuskan ( tidak diulangi ), jika diberikan peneguhan sebaik sahaja gerak balas ditunjukkan.
Daripada kajian yang telah dilakukan ini telah membawa beliau kepada penggunaan teori pelaziman operan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Menurut Skinner ( 1953 ), dalam teori pelaziman operan gerak balas boleh diperkuatkan ( diulangi ) atau dihapuskan ( tidak diulangi ), jika diberikan peneguhan sebaik sahaja gerak balas ditunjukkan.
Peneguhan ialah perkara yang dilakukan untuk menggalakkan sesuatu perlakuan diulangi. Menurut Rachlin ( 1991 ), peneguhan diberikan pertamanya untuk memuaskan kehendak individu, keduanya untuk mengurangkan tekanan dan meransang otak. Skinner membahagikan peneguhan kepada dua jenis iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.
Terdapat lima jenis proses dalam teori operan Skinner iaitu peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan, prinsip Premack dan pelupusan.
3.1 Peneguhan Positif.
Peneguhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan, yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. Dalam bilik darjah, peneguhan positif ini diberikan sebagai salah satu contoh motivasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Contoh-contoh peneguhan positif yang boleh diberikan dalam bilik darjah ialah seperti memberikan kata-kata pujian selepas pelajar melakukan sesuatu kerja atau menjawab soalan, memberikan senyuman, menepuk bahu pelajar, memberi hadiah dan sebagainya. Contoh peneguhan positif ialah seperti berikut,
Tingkah Laku | Kesan / Akibat | Tingkah Laku Masa Hadapan |
Pelajar kemukakan soalan dengan baik. | Guru memuji pelajar. | Pelajar kemukakan lebih banyak soalan yang baik. |
Jadual 1 : Peneguhan Positif.
Peneguhan positif yang diberikan oleh guru dapat mendorong pelajar menghasilkan kerja yang bermutu tinggi. Peneguhan yang diberi juga mestilah jelas dan bersistematik. Hanya tingkah laku yang spesifik sahaja yang perlu diberi peneguhan. Guru juga mestilah ikhlas ketika memberi peneguhan. Menurut Brophy ( 1981 ), ciri-ciri pujian ( peneguhan positif ) yang memberi kesan ialah ( a ) memuji secara ikhlas, ( b ) memuji dengan cepat, ( c ) memuji tanpa pilih kasih, ( d ) memuji usaha dan cuba jaya, ( e ) memuji tingkah laku yang spesifik dan ( f ) memuji jawapan atau respons yang spontan
3.2 Peneguhan Negatif.
Peneguhan negatif ialah ransangan serta merta yang tidak selesa atau menyakitkan yang diberikan selepas sesuatu tingkah laku ditunjukkan. Contohnya, seorang bapa memarahi anaknya kerana tidak membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru.
Oleh kerana jemu dengan leteran bapanya, maka si anak tadi pun menyiapkan kerja sekolahnya. Tindakan anak ( membuat kerja rumah ) dapat mengelakkan daripada ransangan yang tidak diingini ( leteran bapa ). Contoh peneguhan negatif ialah seperti berikut,
Tingkah Laku | Kesan / Akibat | Tingkah Laku Masa Hadapan |
Pelajar tidak menyiapkan tugasan tepat pada waktunya. | Guru menegur pelajar. | Pelajar akan menyiapkan tugasan yang seterusnya tepat pada waktunya. |
Jadual 2 : Peneguhan Negatif.
Peneguhan boleh dilaksanakan secara berterusan atau berkala. Jadual 3 menunjukkan peneguhan yang boleh digunakan untuk membentuk tingkah laku yang diingini. Jadual ini meliputi peneguhan berterusan, peneguhan berkala tetap, peneguhan berkala berubah, peneguhan berkala nisbah tetap dan peneguhan berkala nisbah berubah. Contoh adalah seperti berikut,
3.3 Dendaan.
Dendaan adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, dendaan adalah kesan negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Contoh dendaan adalah seperti berikut:
Tingkah Laku | Kesan / Akibat | Tingkah Laku Masa Hadapan |
Pelajar membuat bising di dalam kelas. | Guru memberi amaran kepada pelajar. | Pelajar berhenti membuat bising di dalam kelas. |
Jadual 4 : Dendaan.
Dendaan boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu pertama dendaan persembahan ( jenis I ) dan kedua dendaan penyingkiran ( Jenis II ).
3.3.1 Dendaan Persembahan.
Dendaan persembahan ( presentation punishment ) berlaku apabila sesuatu ransangan menyebabkan berlakunya perubahan dalam tingkah laku diri pelajar tersebut. Dendaan bentuk ini tidak melibatkan fizikal, tetapi dapat menakutkan pelajar. Contohnya, larian padang, sistem demerit, guru memberi kerja tambahan.
3.3.2 Dendaan Penyingkiran.
Dendaan penyingkiran ( removal punishment ) berkaitan dengan penyingkiran ransangan. Contohnya, ibu bapa atau guru-guru tidak memberi kemudahan apabila seseorang pelajar tidak berkelakuan betul. Contohnya, mengenakan dendaan penyingkiran ialah seperti tidak membenarkan mereka mononton televisyen dalam tempoh seminggu sebab mereka tidak membuat kerja rumah Matematik.
Untuk menjadikan dendaan lebih efektif, beberapa peringatan perlu di ambil kira. Antaranya ialah dendaan dilakukan segera, sebaik sahaja perlakuan tidak diingini dipamerkan. Orang yang menerima dendaan mestilah tahu mengapa dia dihukum. Dendaan mestilah diberi atas dasar untuk mengubah kelakuan dan bukan sebagai balasan perlakuannya. Dendaan dikenakan hendaklah tekal. Kalau A dikenakan 3 rotan untuk kesalahan yang dilakukan, maka B mesti dikenakan 3 rotan untuk kesalahan yang sama.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa dendaan boleh menghasilkan gangguan emosi yang berpanjangan dan ia juga boleh membawa kepada persoalan etika. Dendaan yang keterlaluan boleh dianggap sebagai suatu deraan atau dendaan yang dikenakan secara berterusan boleh membentuk tingkah laku yang negatif, seperti pengasingan diri, rasa rendah diri dan mengganggu perkembangan emosi dalam jangka masa panjang.
3.4 Prinsip Premack.
Konsep utama prinsip Premack ialah mengaitkan aktiviti yang kurang diminati dengan aktiviti yang lebih diminati untuk mengukuhkan tingkah laku terhadap aktiviti yang kurang diminati. Prinsip Premack juga dikenali sebagai “ Grandma’s Rule “ yang berasaskan kenyataan “ kamu boleh keluar bermain selepas kamu habis memakan sayur-sayuran ini “.
Sebagai guru, kita boleh menyelang selikan aktiviti yang menarik dengan aktiviti yang kurang menarik dalam bilik darjah untuk meningkatkan kadar pembelajaran murid. Contohnya, selepas mengakhiri mata pelajaran Matematik, satu aktiviti bermain komputer akan diadakan.
3.5 Pelupusan.
Pelupusan bermaksud perlakuan yang tidak diberi peneguhan akan lupus dengan sendirinya. Keadaan ini akan dapat diatasi jika peneguhan untuk sesuatu perlakuan itu dapat dikenal pasti dan peneguhan itu tidak digunakan. Selain itu guru sanggup bersabar dalam menghadapi proses pelupusan kerana hasilnya tidak datang dengan serta merta.
3.6 Peneguhan Jeda Masa.
Prinsip peneguhan jeda masa yang merujuk pada peneguhan akan diberikan satu jangka masa yang ditentukan sendiri oleh guru atau penyelidik. Jeda masa yang boleh diberi peneguhan dapat dibahagikan kepada dua iaitu jeda masa tetap dan jeda masa tidak tetap. Jeda masa tetap merujuk pada peneguhan yang diberikan pada masa yang telah ditetapkan. Umpamanya, pelajar cemerlang akan menerima anugerah yang berupa hadiah atau sijil pada hari anugerah cemerlang yang diadakan setiap tahun.
Peneguhan jeda masa tidak tetap pula merujuk kepada peneguhan yang boleh diberikan pada masa yang tidak ditentukan. Biasanya peneguhan jeda masa tidak tetap ini diberikan sebaik sahaja sesuatu tingkah laku yang diingini telah dilakukan. Umpamanya, seorang pelajar yang telah berusaha untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh guru. Guru akan memberikan pujian kepada pelajar-pelajar yang berusaha bersungguh-sungguh menjawab soalan tersebut walaupun dia tidak memberikan jawapan yang tepat.
3.7 Peneguhan Mengikut Nisbah.
Prinsip peneguhan mengikut nisbah ialah sesuatu peneguhan yang akan diberikan hanya selapas tingkah laku yang dimatlamatkan dilakukan beberapa kali. Peneguhan mengikut nisbah dapat dibahagikan kepada dua kategori. Kategori yang pertama ialah “ Jadual Nisbah Tetap “. Jadual nisbah tetap merujuk pada peneguhan yang diberikan kepada seseorang atau organisma setelah melakukan tingkah laku yang telah ditetapkan beberapa kali. Umpamanya, jadual nisbah tetap 3 merujuk pada peneguhan yang diberikan kepada tingkah laku yang diingini yang telah ditunjukkan pada kali yang ketiga. Peneguhan kedua diberikan kepada tingkah laku yang sama dilakukan pada kali keenam. Begitulah seterusnya.
Kategori yang seterusnya ialah “ Jadual Nisbah Tidak Tetap “. Jadual nisbah tidak tetap merujuk pada peneguhan tingkah laku mengikut satu purata yang telah ditentukan oleh guru atau penyelidik. Umpamanya, guru memberikan peneguhan setiap lima kali tingkah laku yang diingini itu dilakukan. Kemudiannya beliau akan menetapkan tingkah laku yang ke 10 atau yang ke 15 kali.
3.8 Kesan Jadual Peneguhan Skinner
Peneguhan nisbah dan masa yang berubah akan menyababkan organisma menghasilkan lebih banyak tingkah laku operan kerana peneguhan tidak ditetapkan oleh masa atau nisbah. Oleh itu, individu akan menunjukkan lebih banyak tingkah laku positif kerana mengharapkan peneguhan.
Di dalam peneguhan masa atau nisbah tetap, pelajar akan perlihatkan tingkah laku operan yang paling sedikit kerana dia berjaya meramal pola peneguhan yang diberikan. Individu dapat mengagak bila peneguhan akan diberi dan dia bertindak balas dengan sewajarnya. Individu akan perlihatkan tingkah laku operan yang lebih banyak jika jadual peneguhan yang berubah digunakan.
Bila sesuatu tingkah laku operan diwujudkan,peneguhan yang berterusan mesti diberikan pada awalnya. Selepas itu ditukar kepada peneguhan berkala untuk mengekalkan tingkah laku operan tersebut. Jika hendak menghapuskan tingkah laku operan, peneguhan berterusan dan berkala mesti diberhentikan.
4.0 IMPLIKASI TEORI BEHAVIORIS TERHADAP PROSES PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN.
Pemberian peneguhan yang positif seperti hadiah, pujian, token, bintang, wang, kata-kata perangsang bagi meneguhkan tingkah laku yang dikehendaki.. Peneguhan positif yang baik akan menjamin tingkah laku yang baik. Contohnya, seorang guru memberikan Rahimah lima bintang kerana berjaya menghasilkan lukisan yang tercantik dalam bilik darjah. Selain itu, pemberian peneguhan mestilah diberikan secara tekal bagi menjamin berulangnya tingkah laku.
Selain itu, kepastian bahawa objektif tingkah laku haruslah bersifat realistik dan menggunakan penguasaan kemahiran secara berperingkat. Guru mesti memastikan objektif pengajaran yang ditetapkan realistik dan tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah arasnya untuk pelajar. Ia mesti sejajar dengan kebolehan dan kemampuan pelajar. Namun demikian, guru juga perlu mengajar sesuatu kemahiran seperti bermain bola jaring secara berperingkat-peringkat (seperti burung merpati bermain bola ping pong mengikut teori B.F Skinner) supaya mereka dapat belajar menguasai permainan tersebut dengan berkesan.
Penggunaan prinsip penghapusan dalam bilik darjah adalah amat penting. Ini kerana ia merupakan salah satu cara untuk memodifikasi tingkah laku pelajar. Jika guru ingin menghentikan sesuatu tingkah laku operan, guru perlu menghentikan peneguhan yang diberikan sama ada positif atau negatif secara perlahan-lahan. Apabila pelajar mendapati dia tidak mendapat apa-apa perhatian, lama kelamaan dia akan menghentikan tingkah laku yang negatif tersebut dan sedikit sebanyak telah bertingkah laku positif.
Prinsip Skinner yang boleh digunakan di sini ialah ‘jangan teguhkan tingkah laku yang tidak diingini’. Sebagai contoh, seorang pelajar membuang gumpalan kertas di dalam bilik darjah. Maka guru mesti memastikan pelajar tersebut tidak mendapat apa-apa peneguhan daripadanya atau rakan sebayanya akibat daripada tingkah laku negatifnya itu. Apabila pelajar tidak mendapat apa-apa perhatian, dia akan menghentikan tingkah laku negatif ini.
Guru perlulah mengajar pelajar membezakan persamaan dan perbezaan di antara situasi yang berlainan, supaya mereka dapat membuat generalisasi dan diskriminasi dengan betul. Proses generalisasi yang berlaku ialah dimana guru perlu mengamalkan prinsip generalisasi dalam bilik darjah. Pemindahan pembelajaran yang berlaku dari situasi A kepada situasi B, generalisasi membawa maksud melakukan tingkah laku yang sama dalam situasi yang berlainan. Contohnya, sesetengah pelajar takut untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Untuk mengatasi masalah ini, guru boleh menasihatkan pelajar tersebut dan memberitahunya bahawa dia akan menduduki peperiksaan yang hampir sama dengan ujian bulanan.
Oleh itu, pelajar tidak akan berasa begitu takut kerana dia sudah biasa membuat ujian bulanan. Manakala diskriminasi rangsangan bermaksud guru perlu memastikan bahawa pelajar memberi fokus kepada rangsangan yang betul dan dapat membezakan rangsangan-rangsangan yang lebih penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, guru boleh memberitahu pelajar objektif spesifik yang perlu dikuasai dalam sesuatu pelajaran. Maka pelajar akan memberi perhatian yang lebih daripada maklumat yang penting yang berkaitan dengan objektif pelajaran. Ini menunjukkan bahawa pelajar dapat membuat diskriminasi antara maklumat penting dan kurang relevan. Proses ini penting untuk mendapatkan ilmu dan isi yang penting dalam pembelajaran dan pengajaran.
Seterusnya, pelajar boleh mempelajari sesuatu dengan mengaitkan antara rangsangan dan gerakbalas yang berlaku. Ini bermakna tingkah laku pelajar boleh dilazimkan untuk gerak balas yang diingini atau tidak diingini oleh guru. Sebagai contoh, apabila guru masuk ke dalam kelas ( rangsangan ) pelajar berdiri dan mengucapkan ‘Selamat Pagi’ ( gerak balas ). Guru pun memuji pelajar. Dengan itu, walaupun tanpa arahan guru, pelajar akan terus melakukan tingkah laku ini setiap kali seorang guru masuk ke dalam bilik darjah mereka.
Implikasi seterusnya ialah rangsangan dan gerak balas dapat diperkukuhkan dengan latihan. Ini dapat dikesan apabila semakin kerap rangsangan dikaitkan dengan gerak balas semakin kukuh gerak balas terlazim yang berlaku. Sebagai contoh, seorang pelajar diberi peneguhan positif dalam bentuk pujian kerana dapat menyiapkan kerjanya dengan kemas sekali. Maka guru itu akan mendapati bahawa kerja kemas pelajarnya itu mungkin akan berterusan, walaupun tidak mendapat sebarang pujian daripada gurunya. Pujian yang diberikan terhadap hasil kerja tersebut akan mengakibatkan hasil kerja yang kemas berterusan. Dengan itu, guru akan dapat meningkatkan tingkah laku pembelajaran yang positif dengan mengadakan perbincangan, projek dan aktiviti kumpulan di kalangan pelajar.
Seterusnya, penerapan motivasi akan membangkitkan tingkah laku yang positif dengan ganjaran yang sesuai. Guru perlu memotivasikan pelajar dengan ganjaran yang sesuai sebelum mereka dapat mengawal tingkah laku pembelajaran yang dikehendaki dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, guru perlu memberi motivasi seperti dalam bentuk pujian, hadiah, kata-kata perangsang dan sebagainya untuk membentuk tingkah laku yang tidak diingini. Selain itu, guru juga boleh meningkatkan motivasi pelajar dengan menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.
Implikasi yang seterusnya ialah timbulnya kaedah penghapusan. Jika sesuatu tingkah laku tidak diberi peneguhan ia boleh dikikiskan secara perlahan. Dalam situasi ini guru boleh mengikis perasaan takut yang dialami oleh pelajar dalam situasi pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, jika pelajar takut untuk membuat pembentangan di hadapan kelas, guru boleh meningkatkan keyakinannya secara berperingkat-peringkat. Pertama sekali, guru membiarkan pelajar itu membaca kepada kumpulan yang lebih kecil semasa dia duduk, kemudian semasa berdiri untuk membetuk semangat dan keyakinan diri. Akhir sekali, barulah pelajar itu diberi peluang untuk membaca di hadapan kelas. Kaedah ini dapat menghapuskan perasaan takut yang dialami oleh pelajar tersebut.
Penggunaan prinsip jadual peneguhan Skinner dalam bilik darjah memainkan peranan yang penting untuk menentukan aras peneguhan yang perlu diberikan kepada pelajar. Menurut Skinner, apabila pelajar sedang mempelajari sesuatu yang baru, guru perlu memberikan banyak peneguhan positif kepada mereka supaya mereka lebih berminat untuk mendalami sesuatu perkara yang baru itu. Akan tetapi, setelah mereka dapat menguasai sesuatu kemahiran itu, guru tersebut mestilah memastikan peneguhan secara berkala diberikan untuk memastikan tingkah laku secara operan itu sentiasa wujud didalam diri pelajar
Yang terakhir ialah, guru tersebut dapat menggunakan sebarang peneguhan negatif untuk tingkah laku-tingkah laku yang tertentu. Ini juga merupakan satu kaedah modifikasi tingkah laku. Guru boleh menggunakan peneguhan negatif untuk mendapatkan tingkah laku operan yang dikehendaki daripada pelajar. Sebagai contoh, apabila loceng berbunyi, guru memberi arahan berikut: ‘Semua murid harus beratur untuk pergi rehat. Jika tidak anda akan kehilangan lima minit masa rehat anda’. Tingkah laku operan yang dikehendaki oleh guru ialah supaya pelajar terus beratur untuk pergi rehat pada waktu rehat. Kesannya, pelajar akan terus berbuat demikian kerana tidak mahu kehilangan lima minit masa rehat mereka.
5.0 IMPLIKASI TEORI BEHAVIORIS TERHADAP PROSES PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN BAGI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS.
5.1 STRATEGI KEPADA KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS
Pendidikan khas didefinisikan sebagai kaedah-kaedah yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kecacatan/kurang upaya. Pendidikan khas juga merangkumi aspek pengajaran dan pembelajaran, latihan jasmani dan pendidikan yang berteraskan rumah, hospital dan institut.
5.1.1 Kanak-kanak berkeperluan khas.
a) Mc Donnell, et. Al. ( 1995 ), mengkategorikan kanak-kanak berkeperluan khas ialah terdiri daripada:
i. Rencatan akal
ii. Gangguan tingkah laku
iii. Dutisme
iv. Gangguan pembelajaran
v. Kecacatan deria
vi. Kecacatan fizikal
vii. Kecacatan kesihatan
b) Lerner et. Al ( 1998 ) mencadangkan dua kategori kanak-kanak berkeperluan khas:
i. Kanak-kanak yang dianggap mempunyai risiko untuk gagal dalam pelajaran di bangku sekolah
ii. Kanak-kanakmempunyai kecacatan yang diambil kira dibawah sesuatu akta/undang-undang khas di sesebuah negara.
c) Mahmood Nazar
i. Kanak-kanak berkeperluan khas boleh ditakrifkan sebagai kanak-kanak yang dianggap berdepan dengan batasan keupayaan dengan sendirinya bagi memperoleh keperluan biasa dan untuk hidup bermasyarakat kerana had fizikal dan mentalnya.
d) Pendidikan khas adalah pendidikan yang ditujukan kepada pelajar-pelajar yang cacat penglihatan, cacat pendengaran, cacat mental, bermasalah dalam pembelajaran dan tingkah laku, cacat budaya atau sosial, cacat fizikal dan sebagainya, termasuklah pelajar-pelajar yang pintar cerdas.
Antara tingkah laku utama kanak-kanak berkeperluan khas dan strategi untuk mengatasinya mengikut Teori B.F Skinner ialah jenis kanak-kanak pendendam. Ciri-ciri kanak-kanak ini ialah seorang yang suka mencabar orang lain, suka bermasam muka, berkelakuan ganas serta garang. Manakala strategi untuk mengatasinya ialah antaranya guru janganlah berkelakuan seperti diri sendiri yang terluka dengan menunjukkan perasaan tidak puas hati guru terhadap murid tersebut. Selain itu guru perlulah menjelaskan apakah akibatnya sekiranya kanak-kanak tersebut terus bersikap sedemikian. Seterusnya guru perlu meyakinkan pelajar bahawa dia disukai oleh semua orang di sekelilingnya.
Tingkah laku yang seterusnya pula ialah kanak-kanak yang berkelakuan sering tertekan ataupun merasa rendah diri. Antara ciri-ciri kanak-kanak ini ialah mereka tidak mempedulikan perkara yang berlaku di sekeliling mereka, sentiasa merendah diri dalam semua perkara, mereka adalah jenis yang tidak suka mencuba, sentiasa gagal dalam semua perkara dan mereka juga tidak berasa yakin untuk bertanggungjawab ke atas sesuatu perkara.
Strategi untuk mengatasinya ialah guru perlulah mengabaikan semua kegagalan yang pernah dialami oleh murid tersebut dengan mengurangkan kritikan terhadap mereka. Selain itu guru juga hendaklah menggalakkan usaha yang positif kepada kanak-kanak tersebut supaya mereka akan berbuat perkara yang positif dan mengekalkannya.
Seterusnya, guru mestilah menunjukkan kepada pelajar bahawa kamu yakin terhadapnya dengan memberikan kata-kata perangsang dan tidak mengkritiknya serta sentiasa cuba untuk mendekatinya secara personal dan bertanyakan apakah masalah mereka. Sudah menjadi tugas seorang individu yang bergelar seorang guru untuk menanamkan prinsip di dalam diri pelajar bahawa sesiapa pelajar yang percaya kepada diri sendiri dan berani mencuba akan berjaya dalam semua perkara. Walaubagaimanapun, pelajar yang merasakan dirinya telah diterima dan dihargai oleh guru dan rakan sekelilingnya tidak akan bergaduh, berasa marah atau cuba mencabar sesiapa untuk mencapai sesuatu kejayaan.
Tingkah laku kanak-kanak yang menonjolkan diri turut menjadi satu keperluan dalam keperluan khas. Mereka bercirikan seperti suka menonjolkan diri sendiri tidak kira bila waktu, suka membuat lawak yang keterlaluan dalam kelas dan digelar sebagai ‘pelawak kelas’. Mereka juga adalah seorang yang malas. Antara strategi yang boleh digunakan untuk mengatasinya ialah guru perlu mengabaikan kelakuan buruk yang kecil yang pernah dilakukan oleh kanak-kanak dengan mengelakkan hukuman dan leteran. Guru juga perlu tegas kepada murid tetapi bukan dengan perasaan marah ketika menegurnya. Selain itu, guru boleh memberi perhatian yang lebih kepada pelajar yang tertentu pada waktu tertentu seperti mendekatinya secara personal tetapi bukan secara umum di dalam kelas.
Tingkah laku yang melibatkan keperluan khas ialah kanak-kanak yang bersikap gila kuasa. Antara sikap kanak-kanak tersebut ialah suka bergaduh dengan pelajar lain, suka merajuk, suka menentang pendapat orang lain, dan suka menimbulkan kemarahan orang lain. Pelbagai strategi boleh dilakukan untuk menghadapi kanak-kanak yang bersikap seperti ini. Antaranya ialah guru hendaklah menolak dan mengelakkan diri daripada terperangkap dalam pergaduhan dan kemarahan dengan pelajar supaya keadaan tidak bertambah rumit. Namun begitu, guru masih perlu bersikap tegas, baik dan adil terhadap pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran untuk mengelakkan pilih kasih. Seterusnya guru tersebut haruslah mengenal pasti manakah pelajar yang berkelakuan bagus serta berkualiti di dalam kelas. Seterusnya memuji mereka supaya mereka dapat mengekalkan tingkah laku positif tersebut.
5.2 Pengurusan Tingkah Laku
Pada umumnya hasil kajian saintifik pengurusan tingkah laku mencadangkan bahawa kebanyakan tingkah laku adalah dipelajari. Ini bermakna tingkah laku baru atau alternatif boleh dipelajari pada bila-bila masa. Tingkah laku yang negatif seperti agresif, suka merosakkan harta benda orang ( vandalisme ) boleh diubah kepada tingkah laku baru yang lebih positif jika individu itu diberi intervensi yang dirancang dengan teliti, iaitu sesuai dan sistematik.
5.2.1 Definisi tingkah laku.
‘Tingkah laku adalah berbagai ragam dan berbagai laku.’
( Kamus Dewan, 1979 )
‘Pengurusan tingkah laku adalah program tingkah laku yang berbentuk saintifik yang dibuat secara analisis untuk menghasilkan perubahan tingkah laku sosial yang positif bagi seorang individu.’
( Bear, Wolf and Risley, 1968 )
Antara tingkah laku positif dan negatif yang dialami oleh kanak-kanak berkeperluan khas ialah:
Tingkahlaku positif | Tingkahlaku negatif |
Pintar cerdas | Pergantungan berlebihan |
Cepat belajar | Hiperaktif |
Ingin tahu | Kebimbangan |
Proaktif | Tingkahlaku merosakkan(agresif) |
![]() | Tingkahlaku mengganggu Pengunduran diri |
Model tingkah laku terdiri daripada tiga iaitu:
a) Rangsangan adalah sebarang bentuk keadaan persekitaran atau benda/objek yang boleh menyebabkan tindak balas perlakuan berlaku.
b) Tindak balas merupakan tingkah laku yang terhasil daripada kewujudan rangsangan yang tertentu.
c) Kesan / akibat adalah kejadian yang terjadi ke atas murid selepas tindak balas berlaku
5.3 Cara Mengatasi Masalah Tingkahlaku Kanak-kanak.
Kanak-kanak berkeperluan khas perlu di atasi dengan pelbagai cara sehabis baik agar mereka dapat diberikan perhatian dan tumpuan yang bersesuaian dengan keadaan fizikal dan mental mereka tanpa perlu menyakiti mereka. Sebagai langkah pertama, guru tidak menggunakan kaedah ancaman/ugutan atau menengking untuk mengubah tingkah laku pelajar tersebut. Jika ini berlaku dikhuatiri kanak-kanak tersebut akan memberontak dan melakukan perkara yang tidak baik semasa di dalam kelas.
Selain itu guru juga boleh memodelkan tingkahlaku yang positif dari kalangan guru dan pelajar untuk dijadikan rujukan dan untuk ditiru tingkah lakunya. Sebagai contoh, kebiasaannya guru akan mengenal pasti pelajar yang berkelakuan elok dan dijadikan sebagai contoh teladan kepada pelajar yang lain tanpa pelajar lain berasa diperbandingkan dengan pelajar tersebut.
Seterusnya guru boleh menggunakan sistem ganjaran atau peneguhan positif yang berbentuk token, bintang, hadiah, pujian, kata perangsang serta wang. Jikalau kanak-kanak melakukan tingkah laku yang tidak menyenangkan pelajar lain dan guru maka guru tersebut perlulah mengambil langkah yang bijak dengan menawarkan sesuatu seperti yang telah dinyatakan sebagai umpan untuk membuatkan mereka bertingkah laku baik.
Namun begitu, kaedah time-out dapat digunakan untuk membendung tingkah laku yang tidak diingini berlaku dalam sesuatu organisasi. Kaedah ini betujuan untuk menyedarkan tentang tingkah laku yang telah pelajar lakukan dalam sesuatu organisasi dengan mengeluarkan kanak-kanak yang melanggari peraturan permainan dari permainan tersebut sehingga ianya bersikap baik. Contohnya dalam permainan anak patung.
Mengenakan dendaan terhadap tingkah laku yang tidak diingini juga dapat mengurangkan dan membendung tingkah laku yang negatif di kalangan mereka supaya mereka dapat berkelakuan lebih baik dari itu. Selain itu juga, teknik pengasingann (isolation) merupakan suatu peneguh daripada tingkah laku yang dipilih. Pengasingan tersebut dilakukan untuk memberikan kesedaran serta untuk mengubah kelakuan mereka.
Pemberian pengukuhan kepada perlakuan-perlakuan yang dilakukan oleh murid yang menjurus kepada pembentukan ( shaping ) perlakuan yang dikehendaki melalui ganjaran yang sepatutnya dapat membantu guru tersebut dalam membina tingkah laku yang positif. Namun demikian, pengurangan tingkah laku atau ganjaran secara perlahan-lahan ( fading ) juga dapat membantu guru kerana pelajar tidak perlu diberikan peneguhan yang berterusan apabila sudah menguasai sesuatu kemahiran. Namun begitu ganjaran masih boleh diberikan kepada mereka tetapi bukan terlalu kerap tetapi guru bolehlah memberikannya dalam bentuk berkala.
Guru boleh membiarkan murid tersebut melakukan tingkah laku itu hingga dia jemu melakukannya dan berhenti sendiri sekiranya mereka tetap tidak mendengar nasihat guru mereka. Guru juga boleh mengenakan tindakan-tindakan secara beransur-ansur untuk menghilangkan rasa gugup atau takut yang berlebihan seperti takut untuk bercakap di depan kelas atau mengalamii fobia.
Penggunaan pendekatan kaunseling dan bimbingan untuk menghadapi atau menangani masalah tingkah laku. Ini dapat dikaitkan dengan peranan guru kaunseling untuk menerapkan nilai yang murni serta memberikan motivasi kepada mereka untuk berubah tingkah laku dengan mendalami masalah mereka.
Selain itu, guru juga boleh menggunakan pendekatan muzik atau seni untuk mententeramkan emosi, kebimbangan dan melepaskan perasaan yang tertekan.
Walaubagaimanapun, guru masih boleh memberhentikan atau menyekat murid-murid daripada terus melakukan tingkah laku negatif secara beransur-ansur dengan menggantikan dengan tingkah laku yang positif seperti belajar untuk menghormati pelajar lain dengan tidak membuat bising di dalam kelas. Tambahan lagi, guru juga boleh menggunakan kontrak perjanjian ( contingency contracting ) iaitu persetujuan diantara dua pihak atau lebih ( guru dan murid ) secara lisan atau bertulis tentang perlakuan tingkah laku mereka.
6.0 GARIS PANDUAN BAGI PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
( PNP )
Seharusnya sudah menjadi bidang kemahiran serta kreativiti seorang guru untuk menghubungkaitkan perkara-perkara positif dengan tugasan pembelajaran. Sebagai contoh guru tersebut boleh mengaitkan pembelajaran dengan nilai-nilai murni seperti tidak mengganggu orang lain ketika sedang membuat kerja di samping dapat memupuk sikap yang positif dalam kelas.
Guru juga perlu menggalakkan pelajar kepada situasi yang menakutkan untuk penghapusan secara perlahan-lahan. Ini dapat dilakukan dengan adanya bimbingan yang berterusan daripada guru tersebut. Sebagai contoh, guru janganlah cepat marah sekiranya pelajarnya masih lagi takut untuk menyuarakan pendapat tetapi perlulah memberikan galakan kepada meeka dengan mengatakan bahawa setiap pendapat daripada pelajar akan diterima.
Guru perlulah melakukan rangkaan terhadap setiap langkah-langkah kecil untuk menyelesaikan sesuatu masalah seperti dalam memikirkan cara penyelesaian untuk menceriakan dan mencantikkan kelas mereka. Melalui rangkaan ini, guru dapat mengetahui apakah langkah yang seterusnya jika pelajarnya tidak dapat mengikuti perangkaan tersebut sepenuhnya. Ataupun guru perlulah menciptakan jalan penyelesaian yang terbaik bagi soalan Matematik yang diberikan kepada murid supaya murid mereka faham dan tahu bagaimana untuk menyelesaikan soalan sedemikian nanti
Akhir sekali, guru perlulah sentiasa membantu murid dalam membezakan keadaan antara generalisasi dan diskriminasi supaya mereka dapat membezakan apakah yang penting dan yang tidak penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Ini disebabkan tidak semua yang diberikan oleh guru itu adalah penting dan boleh digunakan dalam keadaan yang tertentu. Pembezaan pengetahuan yang diperoleh semasa proses pembelajaran dan pengajaran akan membantu pelajar untuk lebih mendalami dan memahami tentang konsep tersebut.
7.0 RUMUSAN
Setelah dipelajari melalui tajuk ini, kita telah mendapati bahawa terdapat dan kaedah pelbagai cara untuk mempelajari dan mendalami tajuk berdasarkan Teori B.F Skinner yang menekankan konsep peneguhan dalam membentuk tingkah laku manusia disamping dapat menarik perhatian pelajar untuk belajar lebih tekun. Melalui teori ini, didapati bahawa guru perlu menggunakan peneguhan yang positif atau negatif bagi setiap tingkah laku yang berbeza di dalam bilik darjah. Dalam aspek ini, guru perlu memainkan peranan yang penting untuk mengenal pasti tingkah laku yang dikehendaki ataupun tidak semasa di dalam bilik darjah. Selain itu, Skinner juga menekankan bahawa guru perlu memberikan peneguhan yang banyak semasa dalam mewujudkan tingkah laku yang baru berbanding selepas tingkah laku positif tersebut telah dibentuk oleh guru. Sebaliknya, Skinner menjelaskan apabila selepas setiap tingkah laku yang baru diwujudkan, guru perlu meneruskan dengan memberikan peneguhan untuk memelihara kesinambungan tingkah laku tersebut supaya tingkah laku yang positif dapat dikekalkan seterusnya dapat melahirkan pelajar yang berdisiplin. Dalam mendidik kanak-kanak, kita perlulah menggunakan sebarang petua yang ada untuk membina tingkah laku.
BIBLIOGRAFI
Khadijah Rohani Mohd Yusof. ( 2007 ) . Psikologi Pendidikan :
Open Universiti (OUM) : Kuala Lumpur.
Mahmood Nazar Mohamed. ( 2005 ). Penghantar Psikologi (Satu Pengenalan
Asas Kepada Jiwa Dan Tingkah Laku Manusia) : Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Rahil Mahyuddin. ( 2007 ). Psikologi Pendididkan Untuk Perguruan :
Karisma Publications Sdn.Bhd : Shah Alam
Walter Mischel. (1976). Introduction To Personality : Holt Rinehart Wiston :
United State of Amerika
Sabariah Siron. ( 2005 ). Teori Kaunseling Dan Psikoterapi : Pearson :
Petaling Jaya.
E mavis Hetherington Dan Ross D Parke. (1995). Child Psychology :
Me Graw Hill Book Company : United State
Ee Ah Meng. ( 1994 ). Psikologi Dalam Bilik Darjah : Fajar Bakti Sdn Bhd :
Kuala Lumpur
Lee Shok Mee. (1994). Asas Pendidikan 2 Psikologi dalam Bilik Darjah :
Kumpulan Budiman Sdn Bhd : Kuala Lumpur.
Shahabuddin Hashim dan Dr Rohizani Yaakub. (2004) .
Psikologi Pembelajaran & Personaliti : PTS Publications & Distributors Sdn Bhd : Pahang Darul Makmur
LAMPIRAN
No comments:
Post a Comment